Tuesday 30 April 2013

Nama, Nasab dan Ibu Bapa Rasulullah SAW



Siri Pengenalan Ringkas Nabi Muhammad SAW (1): Nama, Nasab dan Ibu Bapa Rasulullah SAW


Nasab Rasulullah SAW sampai ke Adnan (dalam bahasa Arab)

أبو القاسم محمد بن عبد الله بن عبد المطلب بن هاشم بن عبد مناف بن قصي بن كلاب بن مرة بن كعب بن لؤي بن غالب بن فهر بن مالك بن النضر بن كنانة بن خزيمة بن مدركة بن إلياس بن مضر بن نزار بن معد بن عدنان .

Dalam Bahasa Melayu:

Saidina Abu al-Qashim Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Muthalib (nama asalnya: Syaibah al-Hamd. Al-Muthalib adalah bapa saudara kepada Syaibah ini.) bin Hasyim (nama asalnya: ‘Amru) bin ‘Abd al-Manaf (nama asalnya: al-Mughirah) bin Qushay (nama asalnya Zaid) bin Kilab (sebahagian pendapat mengatakan bahawa, nama asalnya adalah: ‘Urwah) bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin Ghalib bin Fahr (digelar sebagai Quraisy) bin Malik bin al-Nadhar (Qais) bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah (nama asalnya: ‘Amru) bin Ilyas bin Mudhar bin Nazzar bin Ma’da bin ‘Adnan.

Ayahanda Baginda SAW: ‘Abdullah bin ‘Abd al-Muthalib bin Hasyim bin ‘Abd al-Manaf bin Qusyai bin Kilab.

Ibunda Baginda SAW: Aminah binti Wahb bin ‘Abd al-Manaf bin Zuhrah bin Kilab.

Ibu-ibu Susuan Baginda SAW:

1.      Rahmah binti Thuaibah

2.      Halimah binti Abi Zu’aib al-Sa’diyyah

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ dan Imam Ibn Hajar menyebutnya dalam kitab Fath al-Bari bahawasanya, nasab Rasulullah SAW sehingga ‘Adnan adalah disepakati oleh para ulama’. Adapun nasab Baginda SAW selepas itu sehinggalah kepada Nabi Ibrahim a.s. bahkan kepad Nabi Adam a.s. masih dalam perbincangan dan para ulama’ berselisih pendapat mengenainya.

Hadis: Abu Wida’ah berkata: pada suatu hari Ibnu Abbas datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seakan-akan Baginda mendengar sesuatu, kemudian Baginda naik ke mimbarnya dan bersabda: “Siapakah aku?” Sahabat menjawab: “Engkau Rasul Allah, salam atasmu.” Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku adalah Muhammad bin Abdillah bin Abdil Mutalib. Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk, maka menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan, kemudian menjadikan mereka dua golongan, dan menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan. Kemudian menjadikan mereka bersuku-suku, dan menjadikan aku yang terbaik dalam suku. Kemudian menjadikan mereka dalam keluarga-keluarga, dan Allah menjadikan keluargaku yang terbaik di dalam semua keluarga mereka, dan yang terbaik dalam nasab (garis keturunan).” [Dalam Jami’e At-Tirmidzi, hadis ke 3608]


Tuesday 16 April 2013

Mencari yang Bermakna





Mencari yang Bermakna

Hidup ini memang sebuah ruang untuk mendapat kebahagiaan dan kedamaian. Tetapi, bukan enjoy yang sementara sebagaimana yang diingini oleh ramai orang yang rosak hati mereka. Hiburan dan keseronokan bukan kedamaian dan ketenangan. Ada orang seronok dengan apa yang menyusahkan orang lain. Maka, ia bukanlah sebuah keseronokan yang sempurna.

Kehidupan dunia ini ada batasnya. Namun, bahagia itu tiada batasnya, asalkan ianya bersambung kepada kehidupan yang tiada batasnya, iaitu kehidupan di akhirat. Seseorang yang tidak percaya tentang hari akhirat akan kehilangan peluang untuk menikmati bahagia yang kekal. Orang nak seronok dengan cara mereka tetapi bukan semua orang akan terus seronok dengan apa yang menyeronokkannya sebentar tadi.

Ada orang mencari makna pada muzik dan hiburan. Tetapi, sampai bila ia menghiburkan? Sampai satu masa, ia akan menemui sempadan keseronokan lalu sampai kepada titik kebosanan. Seseorang tidak akan mampu mendengar lagu kegemarannya secara lima puluh kali berturut-turut. Maka, keseronokan yang jika semakin kerap semakin membawa kepada kebosanan, maka, ianya bukanlah kebahagiaan dan keseronokan yang hakiki.

Ada orang mencari makna kehidupan pada bersama dengan rakan-rakan. Ada orang boleh berbual panjang di kedai kopi sehingga awal pagi. Namun, setelah dia sedar daripada tidur yang panjang pada siang hari, dia akan tahu betapa apa yang dilakukannya adalah sekadar membuang masa. Semakin kerap dia lakukan perkara demikian, semakin kosong kehidupannya dan semakin sia-sia usia yang dilaluinya. Tidak mungkin dia sanggup membiarkan satu pertiga daripada 365 hari dalam setahun usianya adalah bual kosong di kedai kopi. Kemudian, satu pertiga daripada 365 hari dalam setahun usianya diisi dengan tidur. Kemudian, dia hanya 120 hari sahaja daripada setahun (365 hari) usianya yang bukan tidur dan bual kosong. Adakah kehidupan sedemikian bermakna?

Di sana ada kehidupan yang jauh lebih bermakna dan hakiki. Kehidupan yang membawa kepada kepuasan yang kekal dan makna yang abadi. Ia adalah kehidupan yang dipenuhi tugas kehambaan dan perhubungan dengan Tuhan yang menciptakan. Semakin berinteraksi dengan Allah s.w.t., semakin puas dan semakin bahagia. Buktinya, ketika seseorang susah dalam kehidupan, dia akan kembali mencari Allah s.w.t., kerana dia tahu tidak ada siapa yang menentukan sesuatu dalam kehidupannya melainkan Allah s.w.t. dan dia tahu tidak ada sesiapa yang mampu membantunya kecuali Allah s.w.t..

Ketika seseorang itu sunyi, dia pasti mencari Allah s.w.t.. Dia tahu, tiada yang lebih memahami dirinya melainkan Allah s.w.t.. Dia tahu, tiada yang lebih mengasihinya daripada Allah s.w.t.. Dia tahu, tiada yang mampu membahagiakannya kecuali Allah s.w.t..

Wednesday 7 November 2012

Ketika Seseorang Bertanya tentang Kehidupan...



Mengapa banyak ketentuan yang berlaku dalam kehidupan seseorang tidak dapat dijangka?

Ini kerana, dia menginginkan kehidupan sebagaimana yang dia kehendaki, bukan sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki.

Mengapa manusia letih dalam kehidupan?

Manusia letih dalam kehidupan kerana terlalu banyak daya dan upayanya digunakan untuk memberontak dan mempertikaikan pilihan dan ketentuan Allah s.w.t. dalam kehidupannya. Andai dia banyak redha terhadap ketentuan Allah s.w.t., pasti hatinya rehat dalam meniti hari-hari dalam kehidupan.

Mengapa kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang dan sebagainya yang saling bertentangan?

Kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang, dan sebagainya, agar manusia menghargai nilai ketentuan melalui lawannya sepertimana seseorang menghargai nilai kesenangan setelah mengetahui makna kesusahan. Bahkan, ianya agar manusia mengerti, hidup ini bukan tentang pilihan dan kehendak mereka, tetapi tentang pilihan dan kehendak Allah s.w.t..

Mengapa manusia gagal memahami kesempurnaan Allah s.w.t. melalui ketentuan dan perbuatan-Nya dalam kehidupan mereka?

Ini kerana, mereka ingin memahami Allah s.w.t. dengan cara mereka, bukan dengan cara yang diingini oleh Allah s.w.t.. Mereka membataskan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui kekurangan nafsu mereka, lalu akhirnya tidak memahami hakikat kesempurnaan-Nya.

Seumpama, seseorang yang berdoa kepada Allah s.w.t, lalu jika Allah s.w.t. memberi apa yang diminta, maka itu adalah tanda kecintaan Allah s.w.t. kepadanya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta, maka itu tandanya Allah s.w.t. mengabaikannya. Ukuran itu lahir daripada interaksi seseorang kepada Allah s.w.t. dengan nafsunya. Jika dia berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehambaan, maka jika dia sabar dengan apa yang tidak diberi oleh Allah s.w.t. setelah diminta, maka pasti Allah s.w.t. akan fahamkan tujuan sebenar Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta yang dikenali sebagai hikmah. Setelah dia faham, pastilah makin terzahir kesempurnaan Allah s.w.t. sesuai dengan cara Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada kita.

Mengapa orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya?

Orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya kerana dia mencari selain Allah s.w.t. melalui Allah s.w.t. lalu dia menyangka dia sedang mencari Allah s.w.t..

Contohnya: Apabila seseorang mempunyai masalah. Lalu, dia mencari Allah s.w.t. dan meminta agar Allah s.w.t. menyelesaikan masalahnya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak menyelesaikan masalahnya mengikut caranya, maka dia tidak berpuas hati dengan Allah s.w.t.. Dia lalu menyangka Allah s.w.t. tidak menghiraukannya setelahmana dia kononnya telah mencari Allah s.w.t..

Dia tidak mencari Allah s.w.t., tetapi mencari penyelesaian terhadap masalahnya. Jika dia benar mencari Allah s.w.t, apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh Allah s.w.t, dia akan terima dengan kerelaan hati kerana Dia telah melihat pilihan Allah s.w.t. dalam ketentuanNya kerana menyelesaikan masalah ataupun tidak, itu tanda Allah s.w.t. telah berinteraksi dengannya tetapi dengan cara Allah s.w.t., bukan dengan caranya.

Bagaimana difahami Allah s.w.t. Maha Nyata dalam masa yang sama Maha Batin (tersembunyi) dalam kehidupan?

Ramai orang tahu mereka tidak melakukan kehidupan mereka dengan kehendak dan perbuatan mereka secara tersendiri, tetapi ianya adalah daripada pengaruh kehendak dan perbuatan Allah s.w.t.. Namun masih ramai yang menisbahkan kehendak dan perbuatan kepada diri sendiri tanpa menyandarkannya kepada Allah s.w.t..

Ingatlah ungkapan Namruz kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika berkata: “Tuhanku ialah Tuhan yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.

Raja Namruz berkata: “Aku juga menghidupkan dan mematikan” dengan memanggil dua orang lalu salah satunya dibiarkan hidup dan salah satunya dibunuh padahal nyawa orang yang dibiarkan hidup itu bukan daripada Namruz untuk layak berkata dia yang menghidupkan, apatah lagi mematikan.

Namun, manusia yang berkehendak dengan izin dan kehendak Allah s.w.t., melakukan segala-galanya dengan bantuan upaya daripada Allah s.w.t. dan sebagainya, namun masih menisbahkan semuanya kepada dirinya tanpa kepada Tuhannya. Itulah sifat Namruz yang dinilai oleh Allah s.w.t. sebagai dalam kalangan orang-orang yang zalim.

Lihatlah orang yang berkata: “Aku makan dengan tanganku lalu akulah yang mengenyangkan diriku.” Sedangkan, tangan yang saban hari menyuap makanan ke dalam mulutnya itu, jika Allah s.w.t. jadikan ianya lumpuh, sudah pasti tiada upaya daripada dirinya sendiri dapat mengembalikan upaya tangan tersebut. Sedangkan, jika ditarik sistem pengkhadaman dan pencernaan dalam dirinya, maka tidak ada makanan lagi dapat mengenyangkannya bahkan makanan itu sendiri memudaratkannya pula.

Sejelas itu sekali Maha Zahirnya Allah s.w.t., namun Allah s.w.t. membiarkan sebahagian manusia terus dalam kelalaian di mana Maha Batinlah juga Allah s.w.t. sehingga ramai yang masih menisbahkan semuanya kepada diri mereka lalu melupakan Allah s.w.t..

Bagaimana dapat menyaksikan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui perbuatan-perbuatanNya?

Terima Allah s.w.t. dan segala perbuatan-Nya, sebagaimana kamu harap Dia menerimamu seadanya. Kerana, zat, sifat dan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. adalah suatu Kesempurnaan kerana Dia adalah Maha Sempurna. Manusia terhijab daripada kesempurnaan Allah s.w.t. kerana tidak mahu mencari kesempurnaan-Nya, tetapi lebih ingin mencari kepuasan nafsu sendiri hatta dalam hubungan kepada-Nya.

Wallahu a'lam..

Sunday 4 November 2012

Hikmah: Kelazatan dalam Ibadah





mam al-Zahabi meriwayatkan daripada Nasr al-Balkhi bahawa, Ahmad bin Harb al-Naisaburi (w: 234H) berkata:

عبدت الله خمسين سنة ، فما وجدت حلاوة العبادة حتى تركت ثلاثة أشياء : تركت رضا الناس حتى قدرت أن أتكلم بالحق ، وتركت صحبة الفاسقين حتى وجدت صحبة الصالحين ، وتركت حلاوة الدنيا حتى وجدت حلاوة الآخرة .

Maksudnya: “Saya beribadah kepada Allah s.w.t. selama lima puluh tahun, namun saya tidak dapati kemanisan dalam ibadah tersebut sehinggalah saya meninggalkan tiga perkara: Saya meninggalkan redha manusia sehingga saya mampu berkata yang hak (benar), saya meninggalkan bersahabat dengan orang-orang fasiq sehinggalah dapat bersahabat dengan orang-orang soleh dan saya meninggalkan kemanisan dunia sehingga saya dapati kemanisan akhirat.” [Siyar A’lam al-Nubala’ dalam manaqib Ahmad bin Harb]

Galakan Mencintai Rasulullah SAW





Galakan Mencintai Rasulullah SAW

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [Surah At-Taubah: 24]

Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- pernah bersabda yang bermaksud: Tidak beriman seseorang itu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah aku menjadi paling dicintai olehnya lebih daripada anaknya sendiri, ayahnya dan daripada seluruh manusia”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 14) dan Imam Muslim]

Dalam hadis ini memberi suatu peringatan yang sangat jelas bahawasanya, cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman dan pendorong kepada kemanisan iman. Bahkan, kecintaan tersebut bukan semata-mata cinta, tetapi cinta tersebut perlulah suatu kemuncak cinta yang mengatasi cinta seseorang kepada dirinya dan seluruh manusia yang lain.
Diriwayatkan daripada Zuhrah bin Ma’bad daripada datuknya, bahawasanya datuknya berkata: “Kami bersama-sama dengan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- di mana Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- pada ketika sedang mengambil tangan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. lalu Saidina Umar r.a. berkata: “Wahai Rasulullah. Demi Allah, engkau sangat aku cintai di sisiku lebih daripada segala-galanya melainkan diriku”.

Lalu, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

Demi Dia yang mana jiwaku dalam kekuasaanNya, tidaklah beriman seseorang itu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah aku menjadi yang paling dia cintai di sisinya melebihi dirinya sendiri”.

Lalu, Saidina Umar r.a. berkata:

Demi Allah… Engkau kini adalah orang yang paling aku cintai melebihi diriku sendiri”.

Maka, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “Sekarang barulah (sempurna iman) wahai Umar”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 6632), Imam Ahmad (no: 18193) dan sebagainya]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:“Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman:-

(Pertama): seseorang itu menjadikan Allah dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya,

(Kedua): tidak mencintai  seseorang melainkan keranaNya

(Ketiga): dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” [Sahih Al-Bukhari (no: 6428) dan Sahih Muslim (no: 60)]
Dalam hadis lain, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengandingkan kecintaan kepada Allah s.w.t. dengan kecintaan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- . Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda yang bermaksud “Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, dan cintailah daku dengan sebab Allah s.w.t. mencintai daku” [Hadith riwayat Imam At-Tirmizi]

Tidak kenal maka tidak cinta. Perlulah kita mengenali Saidina Rasulullah SAW agar kita dapat memupukkan rasa cinta kita kepada Baginda SAW sesuai sebagaimana yang disarankan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya SAW.

 Al-Faqier ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari