Mengapa banyak ketentuan yang berlaku dalam kehidupan seseorang tidak dapat dijangka?
Ini kerana, dia menginginkan kehidupan sebagaimana yang dia kehendaki, bukan sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki.
Mengapa manusia letih dalam kehidupan?
Manusia
letih dalam kehidupan kerana terlalu banyak daya dan upayanya digunakan
untuk memberontak dan mempertikaikan pilihan dan ketentuan Allah s.w.t.
dalam kehidupannya. Andai dia banyak redha terhadap ketentuan Allah
s.w.t., pasti hatinya rehat dalam meniti hari-hari dalam kehidupan.
Mengapa kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang dan sebagainya yang saling bertentangan?
Kehidupan
ini ada suka dan duka, susah dan senang, dan sebagainya, agar manusia
menghargai nilai ketentuan melalui lawannya sepertimana seseorang
menghargai nilai kesenangan setelah mengetahui makna kesusahan. Bahkan,
ianya agar manusia mengerti, hidup ini bukan tentang pilihan dan
kehendak mereka, tetapi tentang pilihan dan kehendak Allah s.w.t..
Mengapa manusia gagal memahami kesempurnaan Allah s.w.t. melalui ketentuan dan perbuatan-Nya dalam kehidupan mereka?
Ini kerana, mereka ingin memahami Allah s.w.t. dengan cara mereka, bukan dengan cara yang diingini oleh Allah s.w.t..
Mereka membataskan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui kekurangan nafsu
mereka, lalu akhirnya tidak memahami hakikat kesempurnaan-Nya.
Seumpama,
seseorang yang berdoa kepada Allah s.w.t, lalu jika Allah s.w.t.
memberi apa yang diminta, maka itu adalah tanda kecintaan Allah s.w.t.
kepadanya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta, maka
itu tandanya Allah s.w.t. mengabaikannya. Ukuran itu lahir daripada
interaksi seseorang kepada Allah s.w.t. dengan nafsunya. Jika dia
berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehambaan, maka jika dia sabar
dengan apa yang tidak diberi oleh Allah s.w.t. setelah diminta, maka
pasti Allah s.w.t. akan fahamkan tujuan sebenar Allah s.w.t. tidak
memberi apa yang diminta yang dikenali sebagai hikmah. Setelah dia
faham, pastilah makin terzahir kesempurnaan Allah s.w.t. sesuai dengan
cara Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada kita.
Mengapa orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya?
Orang
gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya kerana dia mencari selain
Allah s.w.t. melalui Allah s.w.t. lalu dia menyangka dia sedang mencari
Allah s.w.t..
Contohnya: Apabila seseorang mempunyai
masalah. Lalu, dia mencari Allah s.w.t. dan meminta agar Allah s.w.t.
menyelesaikan masalahnya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak menyelesaikan
masalahnya mengikut caranya, maka dia tidak berpuas hati dengan Allah
s.w.t.. Dia lalu menyangka Allah s.w.t. tidak menghiraukannya
setelahmana dia kononnya telah mencari Allah s.w.t..
Dia
tidak mencari Allah s.w.t., tetapi mencari penyelesaian terhadap
masalahnya. Jika dia benar mencari Allah s.w.t, apa sahaja keputusan
yang diputuskan oleh Allah s.w.t, dia akan terima dengan kerelaan hati
kerana Dia telah melihat pilihan Allah s.w.t. dalam ketentuanNya kerana
menyelesaikan masalah ataupun tidak, itu tanda Allah s.w.t. telah
berinteraksi dengannya tetapi dengan cara Allah s.w.t., bukan dengan
caranya.
Bagaimana difahami Allah s.w.t. Maha Nyata dalam masa yang sama Maha Batin (tersembunyi) dalam kehidupan?
Ramai
orang tahu mereka tidak melakukan kehidupan mereka dengan kehendak dan
perbuatan mereka secara tersendiri, tetapi ianya adalah daripada
pengaruh kehendak dan perbuatan Allah s.w.t.. Namun masih ramai yang
menisbahkan kehendak dan perbuatan kepada diri sendiri tanpa
menyandarkannya kepada Allah s.w.t..
Ingatlah ungkapan Namruz kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika berkata: “Tuhanku ialah Tuhan yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.”
Raja
Namruz berkata: “Aku juga menghidupkan dan mematikan” dengan memanggil
dua orang lalu salah satunya dibiarkan hidup dan salah satunya dibunuh
padahal nyawa orang yang dibiarkan hidup itu bukan daripada Namruz untuk
layak berkata dia yang menghidupkan, apatah lagi mematikan.
Namun, manusia
yang berkehendak dengan izin dan kehendak Allah s.w.t., melakukan
segala-galanya dengan bantuan upaya daripada Allah s.w.t. dan
sebagainya, namun masih menisbahkan semuanya kepada dirinya tanpa kepada
Tuhannya. Itulah sifat Namruz yang dinilai oleh Allah s.w.t. sebagai dalam kalangan orang-orang yang zalim.
Lihatlah
orang yang berkata: “Aku makan dengan tanganku lalu akulah yang
mengenyangkan diriku.” Sedangkan, tangan yang saban hari menyuap makanan
ke dalam mulutnya itu, jika Allah s.w.t. jadikan ianya lumpuh, sudah
pasti tiada upaya daripada dirinya sendiri dapat mengembalikan upaya
tangan tersebut. Sedangkan, jika ditarik sistem pengkhadaman dan
pencernaan dalam dirinya, maka tidak ada makanan lagi dapat
mengenyangkannya bahkan makanan itu sendiri memudaratkannya pula.
Sejelas
itu sekali Maha Zahirnya Allah s.w.t., namun Allah s.w.t. membiarkan
sebahagian manusia terus dalam kelalaian di mana Maha Batinlah juga
Allah s.w.t. sehingga ramai yang masih menisbahkan semuanya kepada diri
mereka lalu melupakan Allah s.w.t..
Bagaimana dapat menyaksikan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui perbuatan-perbuatanNya?
Terima Allah s.w.t. dan segala perbuatan-Nya, sebagaimana kamu harap Dia menerimamu seadanya.
Kerana, zat, sifat dan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. adalah suatu Kesempurnaan kerana Dia adalah
Maha Sempurna. Manusia terhijab daripada kesempurnaan Allah s.w.t.
kerana tidak mahu mencari kesempurnaan-Nya, tetapi lebih ingin mencari
kepuasan nafsu sendiri hatta dalam hubungan kepada-Nya.
Wallahu a'lam..