Galakan Mencintai Rasulullah SAW
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai
Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan
isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda
yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan
(daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik (derhaka).” [Surah At-Taubah: 24]
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- pernah bersabda yang
bermaksud: Tidak beriman seseorang itu (dengan iman yang sempurna)
sehinggalah aku menjadi paling dicintai olehnya lebih daripada anaknya sendiri,
ayahnya dan daripada seluruh manusia”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no:
14) dan Imam Muslim]
Dalam hadis ini memberi suatu peringatan yang sangat jelas bahawasanya,
cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman dan
pendorong kepada kemanisan iman. Bahkan, kecintaan tersebut bukan semata-mata
cinta, tetapi cinta tersebut perlulah suatu kemuncak cinta yang mengatasi cinta
seseorang kepada dirinya dan seluruh manusia yang lain.
Diriwayatkan
daripada Zuhrah bin Ma’bad daripada datuknya, bahawasanya datuknya berkata: “Kami
bersama-sama dengan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- di mana
Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- pada ketika sedang mengambil
tangan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. lalu Saidina Umar r.a. berkata: “Wahai
Rasulullah. Demi Allah, engkau sangat aku cintai di sisiku lebih daripada
segala-galanya melainkan diriku”.
Lalu, Rasulullah -shollallahu
‘alaihi wasallam- bersabda:
“Demi Dia yang
mana jiwaku dalam kekuasaanNya, tidaklah beriman seseorang itu (dengan iman
yang sempurna) sehinggalah aku menjadi yang paling dia cintai di sisinya
melebihi dirinya sendiri”.
Lalu, Saidina Umar
r.a. berkata:
“Demi Allah…
Engkau kini adalah orang yang paling aku cintai melebihi diriku sendiri”.
Maka, Rasulullah -shollallahu
‘alaihi wasallam- bersabda: “Sekarang barulah (sempurna iman) wahai Umar”.
[Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 6632), Imam Ahmad (no: 18193) dan
sebagainya]
Dalam hadis yang
lain, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:“Tiga
perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut)
dia akan merasai kemanisan iman:-
(Pertama): seseorang itu menjadikan Allah
dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya,
(Kedua): tidak mencintai seseorang
melainkan keranaNya
(Ketiga): dan membenci untuk kembali
kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” [Sahih Al-Bukhari (no:
6428) dan Sahih Muslim (no: 60)]
Dalam hadis lain,
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengandingkan kecintaan kepada
Allah s.w.t. dengan kecintaan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- .
Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda yang bermaksud
“Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan
kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, dan cintailah daku dengan sebab Allah
s.w.t. mencintai daku” [Hadith riwayat Imam At-Tirmizi]
Tidak kenal maka tidak cinta. Perlulah kita mengenali Saidina
Rasulullah SAW agar kita dapat memupukkan rasa cinta kita kepada Baginda SAW
sesuai sebagaimana yang disarankan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya SAW.
Al-Faqier ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
No comments:
Post a Comment