Wednesday 7 November 2012

Ketika Seseorang Bertanya tentang Kehidupan...



Mengapa banyak ketentuan yang berlaku dalam kehidupan seseorang tidak dapat dijangka?

Ini kerana, dia menginginkan kehidupan sebagaimana yang dia kehendaki, bukan sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki.

Mengapa manusia letih dalam kehidupan?

Manusia letih dalam kehidupan kerana terlalu banyak daya dan upayanya digunakan untuk memberontak dan mempertikaikan pilihan dan ketentuan Allah s.w.t. dalam kehidupannya. Andai dia banyak redha terhadap ketentuan Allah s.w.t., pasti hatinya rehat dalam meniti hari-hari dalam kehidupan.

Mengapa kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang dan sebagainya yang saling bertentangan?

Kehidupan ini ada suka dan duka, susah dan senang, dan sebagainya, agar manusia menghargai nilai ketentuan melalui lawannya sepertimana seseorang menghargai nilai kesenangan setelah mengetahui makna kesusahan. Bahkan, ianya agar manusia mengerti, hidup ini bukan tentang pilihan dan kehendak mereka, tetapi tentang pilihan dan kehendak Allah s.w.t..

Mengapa manusia gagal memahami kesempurnaan Allah s.w.t. melalui ketentuan dan perbuatan-Nya dalam kehidupan mereka?

Ini kerana, mereka ingin memahami Allah s.w.t. dengan cara mereka, bukan dengan cara yang diingini oleh Allah s.w.t.. Mereka membataskan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui kekurangan nafsu mereka, lalu akhirnya tidak memahami hakikat kesempurnaan-Nya.

Seumpama, seseorang yang berdoa kepada Allah s.w.t, lalu jika Allah s.w.t. memberi apa yang diminta, maka itu adalah tanda kecintaan Allah s.w.t. kepadanya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta, maka itu tandanya Allah s.w.t. mengabaikannya. Ukuran itu lahir daripada interaksi seseorang kepada Allah s.w.t. dengan nafsunya. Jika dia berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehambaan, maka jika dia sabar dengan apa yang tidak diberi oleh Allah s.w.t. setelah diminta, maka pasti Allah s.w.t. akan fahamkan tujuan sebenar Allah s.w.t. tidak memberi apa yang diminta yang dikenali sebagai hikmah. Setelah dia faham, pastilah makin terzahir kesempurnaan Allah s.w.t. sesuai dengan cara Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada kita.

Mengapa orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya?

Orang gagal menemui Allah s.w.t. dalam kehidupannya kerana dia mencari selain Allah s.w.t. melalui Allah s.w.t. lalu dia menyangka dia sedang mencari Allah s.w.t..

Contohnya: Apabila seseorang mempunyai masalah. Lalu, dia mencari Allah s.w.t. dan meminta agar Allah s.w.t. menyelesaikan masalahnya. Namun, jika Allah s.w.t. tidak menyelesaikan masalahnya mengikut caranya, maka dia tidak berpuas hati dengan Allah s.w.t.. Dia lalu menyangka Allah s.w.t. tidak menghiraukannya setelahmana dia kononnya telah mencari Allah s.w.t..

Dia tidak mencari Allah s.w.t., tetapi mencari penyelesaian terhadap masalahnya. Jika dia benar mencari Allah s.w.t, apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh Allah s.w.t, dia akan terima dengan kerelaan hati kerana Dia telah melihat pilihan Allah s.w.t. dalam ketentuanNya kerana menyelesaikan masalah ataupun tidak, itu tanda Allah s.w.t. telah berinteraksi dengannya tetapi dengan cara Allah s.w.t., bukan dengan caranya.

Bagaimana difahami Allah s.w.t. Maha Nyata dalam masa yang sama Maha Batin (tersembunyi) dalam kehidupan?

Ramai orang tahu mereka tidak melakukan kehidupan mereka dengan kehendak dan perbuatan mereka secara tersendiri, tetapi ianya adalah daripada pengaruh kehendak dan perbuatan Allah s.w.t.. Namun masih ramai yang menisbahkan kehendak dan perbuatan kepada diri sendiri tanpa menyandarkannya kepada Allah s.w.t..

Ingatlah ungkapan Namruz kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika berkata: “Tuhanku ialah Tuhan yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.

Raja Namruz berkata: “Aku juga menghidupkan dan mematikan” dengan memanggil dua orang lalu salah satunya dibiarkan hidup dan salah satunya dibunuh padahal nyawa orang yang dibiarkan hidup itu bukan daripada Namruz untuk layak berkata dia yang menghidupkan, apatah lagi mematikan.

Namun, manusia yang berkehendak dengan izin dan kehendak Allah s.w.t., melakukan segala-galanya dengan bantuan upaya daripada Allah s.w.t. dan sebagainya, namun masih menisbahkan semuanya kepada dirinya tanpa kepada Tuhannya. Itulah sifat Namruz yang dinilai oleh Allah s.w.t. sebagai dalam kalangan orang-orang yang zalim.

Lihatlah orang yang berkata: “Aku makan dengan tanganku lalu akulah yang mengenyangkan diriku.” Sedangkan, tangan yang saban hari menyuap makanan ke dalam mulutnya itu, jika Allah s.w.t. jadikan ianya lumpuh, sudah pasti tiada upaya daripada dirinya sendiri dapat mengembalikan upaya tangan tersebut. Sedangkan, jika ditarik sistem pengkhadaman dan pencernaan dalam dirinya, maka tidak ada makanan lagi dapat mengenyangkannya bahkan makanan itu sendiri memudaratkannya pula.

Sejelas itu sekali Maha Zahirnya Allah s.w.t., namun Allah s.w.t. membiarkan sebahagian manusia terus dalam kelalaian di mana Maha Batinlah juga Allah s.w.t. sehingga ramai yang masih menisbahkan semuanya kepada diri mereka lalu melupakan Allah s.w.t..

Bagaimana dapat menyaksikan kesempurnaan Allah s.w.t. melalui perbuatan-perbuatanNya?

Terima Allah s.w.t. dan segala perbuatan-Nya, sebagaimana kamu harap Dia menerimamu seadanya. Kerana, zat, sifat dan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. adalah suatu Kesempurnaan kerana Dia adalah Maha Sempurna. Manusia terhijab daripada kesempurnaan Allah s.w.t. kerana tidak mahu mencari kesempurnaan-Nya, tetapi lebih ingin mencari kepuasan nafsu sendiri hatta dalam hubungan kepada-Nya.

Wallahu a'lam..

Sunday 4 November 2012

Hikmah: Kelazatan dalam Ibadah





mam al-Zahabi meriwayatkan daripada Nasr al-Balkhi bahawa, Ahmad bin Harb al-Naisaburi (w: 234H) berkata:

عبدت الله خمسين سنة ، فما وجدت حلاوة العبادة حتى تركت ثلاثة أشياء : تركت رضا الناس حتى قدرت أن أتكلم بالحق ، وتركت صحبة الفاسقين حتى وجدت صحبة الصالحين ، وتركت حلاوة الدنيا حتى وجدت حلاوة الآخرة .

Maksudnya: “Saya beribadah kepada Allah s.w.t. selama lima puluh tahun, namun saya tidak dapati kemanisan dalam ibadah tersebut sehinggalah saya meninggalkan tiga perkara: Saya meninggalkan redha manusia sehingga saya mampu berkata yang hak (benar), saya meninggalkan bersahabat dengan orang-orang fasiq sehinggalah dapat bersahabat dengan orang-orang soleh dan saya meninggalkan kemanisan dunia sehingga saya dapati kemanisan akhirat.” [Siyar A’lam al-Nubala’ dalam manaqib Ahmad bin Harb]

Galakan Mencintai Rasulullah SAW





Galakan Mencintai Rasulullah SAW

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [Surah At-Taubah: 24]

Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- pernah bersabda yang bermaksud: Tidak beriman seseorang itu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah aku menjadi paling dicintai olehnya lebih daripada anaknya sendiri, ayahnya dan daripada seluruh manusia”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 14) dan Imam Muslim]

Dalam hadis ini memberi suatu peringatan yang sangat jelas bahawasanya, cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman dan pendorong kepada kemanisan iman. Bahkan, kecintaan tersebut bukan semata-mata cinta, tetapi cinta tersebut perlulah suatu kemuncak cinta yang mengatasi cinta seseorang kepada dirinya dan seluruh manusia yang lain.
Diriwayatkan daripada Zuhrah bin Ma’bad daripada datuknya, bahawasanya datuknya berkata: “Kami bersama-sama dengan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- di mana Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- pada ketika sedang mengambil tangan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. lalu Saidina Umar r.a. berkata: “Wahai Rasulullah. Demi Allah, engkau sangat aku cintai di sisiku lebih daripada segala-galanya melainkan diriku”.

Lalu, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

Demi Dia yang mana jiwaku dalam kekuasaanNya, tidaklah beriman seseorang itu (dengan iman yang sempurna) sehinggalah aku menjadi yang paling dia cintai di sisinya melebihi dirinya sendiri”.

Lalu, Saidina Umar r.a. berkata:

Demi Allah… Engkau kini adalah orang yang paling aku cintai melebihi diriku sendiri”.

Maka, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “Sekarang barulah (sempurna iman) wahai Umar”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (no: 6632), Imam Ahmad (no: 18193) dan sebagainya]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:“Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman:-

(Pertama): seseorang itu menjadikan Allah dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya,

(Kedua): tidak mencintai  seseorang melainkan keranaNya

(Ketiga): dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” [Sahih Al-Bukhari (no: 6428) dan Sahih Muslim (no: 60)]
Dalam hadis lain, Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengandingkan kecintaan kepada Allah s.w.t. dengan kecintaan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- . Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda yang bermaksud “Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, dan cintailah daku dengan sebab Allah s.w.t. mencintai daku” [Hadith riwayat Imam At-Tirmizi]

Tidak kenal maka tidak cinta. Perlulah kita mengenali Saidina Rasulullah SAW agar kita dapat memupukkan rasa cinta kita kepada Baginda SAW sesuai sebagaimana yang disarankan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya SAW.

 Al-Faqier ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari

Hidup Dengan-Mu




Hidup Dengan-Mu

Bila hidup ini penuh duka dan lara,
Ku terhenti dari lamunan dunia,
Ku sedari ia bukan tempat bahagia,
Ku sedari ia kan berakhir jua…

Bila ku hadapi masa-masa derita,
Ku teringat saat ku gembira,
Ku pasti derita kan pergi jua,
Seperti perginya, saat ku tertawa.

Ku sedari, hakikat diriku,
Tiada daya bagiku,
Tiada upaya padaku,
Lemahnya daku,
Tanpa bersama-Mu.

Hanya Kau yang tahu,
Apa sahaja yang ku perlu,
Hanya Kau yang mampu,
Membantuku dalam hadapi hidupku.

Hanya Kau yang satu,
Menjadi pilihan hatiku,
Kerna daku yang tahu,
Dikaulah segalanya, dalam hidupku.

Bila ku kenangkan kisah duka,
Ku syukuri segala memori suka,
Bila ku hadapi bahagia,
Ku hayati makna tulus cinta.

Andai hari esok masih ada,
Ku harap dapat lalui bersama,
Agar ku tetap bahagia,
Dalam apa jua ketentuan yang tiba.